Pemburu Impian

Tuesday, June 24, 2014

#76 Mahir mengikat serban 7 hasta

Sejak tahun 2008 lagi, aku meminati serban. Ketika itu, nusantara digembar-gemburkan dengan Imam Samudra yang dikatakan sebagai pengganas. Serban Imam Samudra telah menarik minatku untuk memiliki serban dan untuk mahir mengikatnya sendiri.

Ketika berada di Masjid Seri Petaling selama seminggu, aku telah membeli sehelai serban sepanjang 7 hasta berharga RM 16 setelah tawar-menawar dengan pengusaha Kedai Habib. Tatkala itu, bertarikh 15 Syaaban. Aku dalam misi mencapai Senarai Hidup Ku yang ke-116.

Setelah sekian lama aku berlatih untuk mengikat serban 7 hasta ini, pada hari ini aku bersyukur dan berpuas hati dengan ikatan serban di kepala ini.

Aku berazam untuk istiqamah dalam pemakaian serban ini. Paling tidak pun, sekurang-kurangnya, setiap kali solat Jumaat aku akan memakai serban 3 hasta.

Friday, August 30, 2013

#84 : Mendapat lesen memandu kereta

Tercapai sudah Senarai Hidup Ku yang ke-84 

Antara 121 Senarai Hidup, perkara ke-84 adalah yang keempat tercapai.

Seawal bulan Julai, Papa daftarkan aku di Long Life Driving School. Dengan bayaran RM1,200, namaku dijadualkan untuk menjalani kelas memandu kereta dan motorsikal. Mungkin agak terlewat 1 tahun bagiku untuk mengambil lesen, tetapi seperti kata orang, umur bukan penghalang. Ramai lagi yang lebih tua mahu mengambil lesen, malah ada yang usia sudah melebihi setengah abad.

Rupa-rupanya, Syahriffuddin juga menjalani kelas sama denganku bersama tenaga pengajar yang sama. Aku tidak keseorangan. Ada juga yang aku kenal.

Tenaga pengajarku pada awalnya ialah Encik Yazit bin Abdul Rahman.

Kemudian, atas sebab-sebab tertentu, kami ditukarkan kepada Abang Redzuan iaitu adik kepada Encik Yazit sendiri. Kedua-dua mereka amat baik. Sepanjang proses pengajaran, mereka sering memberikan nasihat yang sungguh berguna buat anak muda Melayu lingkungan umur sepertiku.

Kata mereka kita perlu perjuangkan nasib Melayu. Ekonomi. Politik. Sosial. Pendidikan.

Hatiku sedikit senang apabila Abang Redzuan menyatakan, aku adalah pelajar yang paling cepat belajar pada ketika itu. Alhamdulillah.


Inilah kereta latihan bagi latihan pemanduan sehingga mahir.



Ini pula lapangan buat pelatih untuk mejalani latihan dan ujian memandu Jabatan Pengangkutan Jalanraya.

Segala upaya dan daya aku dan Syahriffuddin kerah untuk menguasai kemahiran memandu kereta dan menunggang motosikal sepanjang tempoh pengajaran. Walaupun kami demam, kami tetap datang belajar.

Pada tarikh 30 Ogos 2013 kami dijadualkan untuk menjalani ujian memandu Jabatan Pengangkutan Jalanraya.

Sebelum diuji, kami menunggu di kantin dan bertemu dengan Encik Yazit.

"Sejuk tak?" soal Encik Yazit dengan selamba.

Kami mengangguk.

"Rasa-rasanya, sejuk atau gementar?" sambung soalnya yang menggerunkan kami.

Pagi itu, sejuk yang kami rasakan sebenarnya merupakan rasa gementar. Tambahan pula, kami dimomokkan bahawa pegawai-pegawai yang menguji adalah sangat garang dan tidak boleh bertoleransi.

Sebagai pelatih yang mengambil double test, giliran kami untuk ujian motosikal diutamakan. Alhamdulillah aku lulus tetapi aku sedikit hampa kerana rakan seperjuanganku, Syahriffuddin, tidak berjaya semasa menjalani ujian motosikal di bahagian meniti titi.

Selepas ujian motosikal, kami menjalani ujian memandu kereta pula. Giliran Syahriffudin adalah awal dariku untuk Bahagian II. Dia gagal di bukit. Aku sedih sekali lagi kerana rakan seperjuanganku tersekat di tengah jalan.

Bahagian III pula, giliranku awal dari Syahriffuddin.  Memang benar pegawai JPJ itu kelihatan garang. Aku tidak memandu ke jalan raya pun ketika ujian ini kerana pemanduanku sudah baik ketika berada dalam litar sekolah memandu lagi.

Aku lulus. Alhamdulillah.

Aku menunggu Syahriffuddin untuk habiskan ujian Bahagian III. Ada seorang pemuda berbangsa Cina menyapaku. Sebelum ini, dia pernah menyapaku ketika kami sama-sama mengambil ujian memandu komputer.

"You pass aaa?" tanyanya sama ada lulus atau gagal.

"Tak," jawabku ringkas.

"Habis? You macam mana?" soalnya bagi mendapat penjelasan seterusnya.

"I bukan Pas, I UMNO,.." aku menjawab dan terus pergi meninggalkannya dalam kebinggungan.

Hatiku ketawa sendirian. Mungkin dia fikir aku rasis atau apa sahaja.

Tidak lama kemudian, Syahriffudin berjaya habiskan ujian memandu Bahagian III dan kami pun ke kantin untuk menunggu Abang Redzuan menjemput kami ke rumah.

Walaupun aku lulus pada hari ini zahirnya, pada hakikatnya aku gagal kerana Syahriffuddin tidak berjaya dalam kedua-dua ujian. Aku harap Syahriffuddin akan berjaya pada ujian memandu yang akan datang.

Seperti yang pernah dipesan oleh Wan Asyraf,

"Kau belajar memandu ni biarlah diniatkan untuk dakwah, niat nak bawa orang ke masjid, niat nak pergi daurah, niat bawa jemaah, niat nak sebarkan kalimah...".

Insya-Allah inilah niat terbesarku mempelajari kemahiran ini. Aku berazam akan gunakannya sebaik-baiknya.

Tercapainya Senarai Hidup Ku adalah kerana perancangan yang Maha Perancang. :)

Selamat Merdeka!

Monday, August 26, 2013

#13 Menulis 50 patah perkataan seminit

Tercapai akhirnya satu lagi Senarai Hidup Ku.

Senarai yang ke-116 ini merupakan yang ketiga tercapai.

--------------------------------------------------------------------------
Teks asal .. 

The gift of giving

Think about the way in which you can use your skills and talents to the benefits of others. Think about the ways in which your work, efforts and ideas can make a difference, no matter how small, to the wellbeing of others. You may be surprised to find that thinking |50| in this way gives you the clues that show you how to make your dream job come true.

Teks pencapaian ..

The gift of giving

Think about the way in which you can use your skills and talents to the benefits of others. Think about the ways in which your work, efforts and ideas can make a difference, no matter how small, to the wellbeing of others. You may be surprised to find that thinking in this way
---------------------------------------------------------------------------

Teks di atas merupakan teks panduan bagi mencapai Senarai Hidup Ku yang ke-13. Berhari-hari lamanya aku berlatih menulis sehinggakan sudah kuhafal teks ini.

Sebelum ini, kelajuan menulisku adalah 40 perkataan seminit. Sangat lambat.

Setelah berlatih, kelajuan menulis meningkat mendadak kepada 44 perkataan seminit.

Sejak dari itu, kelajuan menulisku meningkat sedikit demi sedikit 1-2 perkataan sehingga lah 50 perkataan seminit.

Kini, bertarikh 27 Ogos 2013, aku berjaya menulis 53 perkataan seminit.

Setiap hari, ada peningkatan yang aku kecapi walaupun sedikit. Senarai Hidup Ku yang ke-13 ini mungkin nampak kecil di mata orang ramai kerana mereka semua mempunyai kelajuan yang lebih berbanding aku.

Senarai Hidup Ku yang ke-13 ini juga telah mengajar aku akan erti usaha keras dan gigih dalam mencapai cita-cita. Pada pertengahan usaha, terselit sebentar fikiran negatif bahawa aku tak akan berjaya. Jadi, aku neutralkan dengan fikiran positif dan tambahkan lagi elemen positif.

"Jika orang lain boleh buat lebih laju, mengapa aku tidak boleh?"

"Aku sudah berjaya menulis 44 perkataan seminit, tak mustahil aku tak boleh tambah lagi 44,."

Kini, aku sudah berjaya. Aku bersyukur.

Bukan 50 perkataan seminit. Malah, 53 perkataan.

Aku akan gunakan kemahiran ini sebagai alat untukku menyebarkan dakwah dan mencapai kesemua Senarai Hidup Ku satu per satu.

Tercapainya Senarai Hidup Ku adalah kerana perancangan yang Maha Perancang. :)

Tuesday, July 2, 2013

#116 : Menjadi Fasilitator Sebuah Program

Tercapai jua satu lagi Senarai Hidup Ku.

Senarai yang ke-116 ini merupakan yang kedua tercapai.

Iklan Islamia Youth Forum tersebar di laman Facebook. Tertulis dalam iklan tersebut, tawaran untuk menjadi Fasilitator program di Nadwah Isalamiah MRSM Se-Malaysia. Melihat iklan tersebut, hatiku tergerak untuk menyertainya. Hal ini kerana menjadi fasilitator sebuah program merupakan salah satu Senarai Hidup Ku yang ingin aku capai. Tambahan pula, sudah lama aku tinggalkan IYF.

Borang diisi secara online.

Pada 21 Jun 2013, dari Pontian, aku ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas untuk menghadiri daurah yang diadakan di Masjid Al-Hidayah, Universiti Multimedia Malaysia(MMU), Cyberjaya. Menyedari satu hakikat bahawa, pengangkutan awam menuju ke sana adalah amat sukar untuk didapati. Jika ada pun, tambangnya sangat mahal bagiku. Lebih menggawatkan lagi, masalah jerebu yang tidak selesai-selesai dan boleh menggugat kesihatan tubuh badan. Namun, kerana islah, dakwah dan sumbangan terhadap institusi MRSM, aku bulatkan tekad untuk harungi semua itu.

Aku tidak terus ke MMU sebaliknya ke Shah Alam untuk menikmati Air Batu Campur Fradoo di Seksyen 2 dahulu dan bermalam di UiTM Shah Alam. Sempat juga bertemu dengan salah seorang junior dari MRSM TGB yang juga mengaji jurusan undang-undang pada tahun ini. Ada juga rupanya junior yang berminat dengan kerjaya perundangan.

Dalam perjalanan ke MMU, ada beberapa individu yang terserempak denganku. Itu semua takdir Allah. Antaranya, Abang Abdul Hafiz dan Abang Azrey. Abang Hafiz dalam perjalanan ke KLIA, memulangkan barang yang telah bertukar tangan dengan penumpang lain manakala Abang Azrey juga ke KLIA, namun bertujuan untuk bercuti di Bandung, Indonesia. Sempat juga kami berbual. Bualan ringkas bersama Abang Hafiz mengingatkan aku kepada dakwah dan akhlak. Bualan ringkas bersama Abang Azrey mencerahkan aku kepada kebolehan membuat keputusan hidup dan matlamat kerjaya. Abang Azrey merupakan pelajar cemerlang di MRSM TGB dahulu dengan pencapaian pointer 4.00 pada tiga semester. Tidak dapat tidak, semua pelajar mesti kenal akan beliau.

"Kita sekarang ni dah didoktrinkan, kalau pelajar MRSM saja, mesti jadi doktor atau engineer," satu hakikat yang terpacul dari lisannya. Tak sangka Abang Azrey mempunyai fikrah sama sepertiku.

Dipendekkan cerita, sampai saja di MMU, semua bakal fasilitator mendengar daurah daripada beberapa individu yang hebat seperti saudara Abdul Aziz, Faiz Nor Azman dan Ellyas. Terkejut tatkala Ellyas juga turut bersama pada IYF kali ini. Terimbau kembali semasa aku dan Ellyas menjadi peserta di UKM pada kali pertama IYF dilancarkan. Mereka telah berikan pengisian yang sangat mantap dan menambah pengetahuan di dada. Bakal fasilitator juga sempat berkenalan sesama sendiri. Aku gembira dapat berkenalan dengan pemuda-pemuda berjiwa dakwah.

Genap 2 hari 1 malam di MMU setelah habis daurah, aku ke Kuala Lumpur. Terbungkam di hati, aku ingin pulang ke rumah. Mengenangkan kos untuk pulang ke Pontian memerlukan modal yang banyak, jadi aku membuat keputusan untuk terus berada di Kuala Lumpur sepanjang 5 hari sebelum ke MRSM Kubang Pasu. Lokasi Masjid Seri Petaling menjadi pilihan sebagai tempat kediaman kerana aku menyukai program iman dan amal yang diadakan di sana setiap hari. Lagi pun, pada hematku, suasana agama perlu dicari di mana saja kita berada.

5 hari di Masjid Seri Petaling memberikan aku semangat dakwah yang baharu. Ramai juga individu yang telah aku jumpa di sana seperti Imam Nik(kenalan di PLKN) dan Uncle Tahir(warga Simpang Kerayong, Jasin). Sangat banyak ibrah seperjalanan ini jika mahu diceritakan semuanya sebenarnya.

Pada hari Jumaat, sebahagian bakal fasilitator bergerak dari Pudu Sentral ke Jitra, Kedah manakala sebahagian lagi berkenderaan sendiri. Sampai di MRSM Kubang Pasu, kami disambut baik. Alhamdulillah, perjalanan ke sana sangat lancar. Fasilitator-fasilitator ditugaskan untuk mengendalikan slot percambahan minda dan riadah sahaja kerana sedikit perubahan telah berlaku dalam Nadwah Islamiah MRSM tahun ini.

Setelah dicabut undi, aku ditugaskan untuk mengendalikan pelajar-pelajar dari MRSM PDRM dan MRSM Pontian.

Tugas tersebut cuba kami laksanakan sebaiknya.

Slot Percambahan Minda.


Taaruf diadakan. Kami berkenalan bagi mencapai Tafahum seterusnya Takaful. Pada pandanganku, mereka semua berhati lembut dan suci. Mereka kurang lebih sebaya dengan adik lelakiku, Rhys. Ada yang tingaktan 4 dan ada juga tingakatan 2. Yang aku lihat dalam diri mereka adalah POTENSI.


Modul bagi sesi Percambahan Minda ini mengalami sedikit perubahan. Kelam-kabut dibuatnya aku mahu menyesuaikan diri dengan modul yang sedikit berbeza berbanding daurah. Namun isinya tidak lari. Masih lagi berkaitan tentang kepimpinan. Ralat dalam sesi LDK bukanlah salah peserta, bukan juga salah penganjur, bukan juga salah pengendali. Mungkin terdapat beberapa kesalahan maklumat yang diterima pihak penganjur menyebakan peserta-peserta Nadwah tidak membawa al-Quran terjemahan dan tidak diberikan slide.

Segala masalah ada penyelesaiannya. Hanya kita yang perlu memilih.

Slot Riadah.

Sebagai fasilitator kami dikehendaki untuk mengaitkan hubungan antara slot I dan slot II. Kumpulan yang aku pegang, aku adakan pementasan lakonan pendek.

Kumpulan mereka tadi, aku pecahkan lagi kepada 4 kumpulan kecil di mana ahli-ahlinya terdiri daripada pelajar MRSM yang berbeza. Bagi aku, ini lah masa dan platform untuk mereka membina rangkaian perhubungan bagi memudahkan mereka menjalankan revolusi atau program suatu hari nanti.

Situasi diberikan.

Setiap kumpulan bekerjasama memikirkan drama kepimpinan mereka.

Masa tamat. Tibalah masa pementasan.

































Sangat gembira apabila pementasan drama dengan persiapan yang ringkas, mereka dapat menggarap segala pelajaran slot I dan mengaplikasikannya ke dalam Slot II.


MRSM PDRM-Pontian. Aku yakin, mereka bukan sahaja wakil MRSM ke Nadwah ini, malah mereka merupakan DUTA Allah ke muka bumi ini.








Dasar pandang Timur




Mantera MRSM PDRM-Pontian.


Mereka semua baik belaka dan mendengar kata. Terlihat di wajah mereka, sinar nur dan hidayah. Aku senantiasa mendoakan agar mereka dapat menggalas tugasan yang Allah berikan kepada manusia.

Semuanya mengucapkan terima kasih tidak terhingga. Aku amat gembira.

Seorang akhawat atau peserta wanita berkata mereka amat seronok ber'fasilitator'kan aku. Terasa diri semakin dihargai. Terima kasih kepada mereka semua.

"Nadwah Islamiah" kini berorientasi pelaksanaan baharu. Bukan lagi sebuah pertandingan tetapi selaras dengan perkataan nadwah itu sendiri yang membawa makna konvensyen. Tiada apa lagi yang dapat aku sumbangkan buat institusi MRSM. Ini sajalah. Ini sajalah. Ini sajalah.

Benda yang baik bukanlah dibuat kali yang terakhir. Insya-Allah, selepas ini, aku akan terus menjadi fasilitator sekiranya dijemput lagi.


Tercapainya Senarai Hidup Ku adalah kerana perancangan yang Maha Perancang. :) 

Sunday, June 9, 2013

#119 : Berjumpa semula dengan Ayahanda TKL

Tercapai jua salah satu Senarai Hidup Ku.

Senarai yang ke-119 ini merupakan yang pertama tercapai.

Malam itu, malam Israk dan Mikraj. Aku dan Rhys ke Masjid Kampung Sungai Siput untuk menunaikan solat Maghrib secara berjemaah. Tiba-tiba kami berasa ingin tukar angin pula. Oleh yang demikian, kami meneruskan perjalanan ke surau kampung sebelah, Surau Kampung Kubu Dedap. Alhamdulillah jemaahnya cukup ramai juga. Selepas bacaan surah Yasin, aku mengajak Rhys ke Jementah untuk bersiar-siar.

Kami memberanikan diri dan berharap agar tiada polis yang berkawal kerana aku tidak punyai lesen lagi. Di pekan Jementah, aku tergerak hati untuk ke Masjid Paya Jakas. Aku sengaja ingin imbau kembali memori di PLKN. Masjid ini merupakan masjid yang dikunjungi pelatih Muslim PLKN Kem Sri Ledang untuk bersolat Jumaat setiap minggu.


Sampai sahaja di masjid itu, aku melihat perkarangan masjid telah dipenuhi kereta-kereta besar dan mewah. Mujur sahaja aku bawa motorsikal. Tidaklah susah  untuk mencari parkir.

Aku dan Rhys terus ke balai hidangan jamuan makanan untuk menikmati rezeki yang dihidangkan. Kelihatan di situ, wira dan wirawati Muslim kumpulan 2 siri 10 memenuhi program di Masjid tersebut.

Dalam benakku, bolehlah aku berjumpa dengan cikgu-cikgu PLKN.

Aku tercari-cari di manakah Cikgu Zety, Cikgu Abe, Cikgu Mariam, Cikgu Merry, Cikgu Fahmi, Cikgu Azmi dan lain-lain lagi. Namun, tidak kelihatan. Barangkali, penglihatanku telah dicuri tumpuannya kepada seoraang wirawati Charlie >_< . Gurau.

Selepas menjamu selera, aku naik ke tangga masjid. Dari jauh aku ternampak Cikgu Jabar, segak berbaju Melayu berwarna kuning serta bersamping, berdiri di atas saf. Cikgu Jabar menoleh ke pintu masjid dan pandangannya terhenti sebaik melihatku. Beliau memerhatikan aku seakan-akan beliau masih kenal aku.

Iqamat pun berkumandang. Muslimin masing-masing merapatkan saf dan memenuhkan saf barisan hadapan. Aku juga tak terkecuali. Menyelit di tengah keramaian orang untuk sampai di barisan saf Cikgu Jabar.

Kami pun bersalaman. Niat dipasang, takbir diangkat. Solat dimulakan.

Selesai solat fardu Isyak, Cikgu Jabar menyapaku dan kami bertanya khabar. Cikgu Jabar pun keluar dari masjid untuk bertugas mengawal pelatih di sana.

Tak sangka beliau masih ingat pada anak didiknya.

Aku pula duduk dahulu di dalam masjid mengenang kembali kenangan tatkala aku berada di sini dahulu.

Tiba-tiba aku melihat kelibat seorang lelaki yang sepertinya aku kenali. Ya, dialah orangnya. Aku menyapanya dari belakang dan terus bersalaman. Beliau memelukku erat.

" Anak ayah sekarang dekat mana? " dia menghulurkan pertanyaan.

" Baru habis Asasi, lepas ni in shaa Allah sambung degree. " aku pun menjawab.

Alhamdulillah aku dapat berjumpa semula dengan Tuan Timbalan Komandan Latihan, Tuan Haji Mad Yadzir di Masjid Paya Jakas, Jementah.


Beliau sudah lupa namaku, hanya wajah yang diingatinya. Walaubagaimanapun, satu daripada Senarai Hidup Ku telah tercapai dan aku berasa puas.

Kami berbual ringkas di tangga masjid sementara Forum Perdana di Masjid Paya Jakas sedang berlangsung.

Walaupun ringkas, banyak juga yang dapat dibualkan. Banyak juga rahsia yang selama ini tidak aku ketahui. Banyak juga kisah yang diceritakan.

"Belajar rajin-rajin. Jangan berhenti belajar." pesan beliau.

"Kumpulan 1 Siri 9 yang paling saya rindu. Kumpulan 1 Siri 9 lah paling banyak tinggalkan kenangan pada saya." kata-kata beliau yang sangat menyentuh qalbu.


Tercapainya Senarai Hidup Ku adalah kerana perancangan yang Maha Perancang. :)

Saturday, June 8, 2013

Satu Per Satu

Assalamualaikum buat semua manusia yang budiman.

Sekian kita mengetahui bahawasanya dan sesungguhnya manusia itu hidup mempunyai impian dan matlamat. Impian dan matlamat yang diimpikan itu pastinya ingin kita realisasikan sepanjang waktu kehidupan. Tanpa impian dan matlamat, manusia bakal merasai hidupnya seakan-akan tiada erti.

Impian dan matlamat yang jitu adalah impian dan matlamat yang bermanfaat, baik dan berlandaskan iman serta taqwa.

Aku seorang manusia. Aku juga tidak terlepas daripada berimpian dan mempunyai matlamat. Justeru, aku juga perlu berusaha untuk mencapainya.

Aku mempunyai 121 impian dan matlamat. Aku telah senaraikan dan telah namakannya sebagai 121 Senarai Hidup Ku.

Aku akan berkongsi apa dan bagaimana aku akan mencapai kesemua perkara yang telah aku senaraikan tersebut di blog ini. Apa yang baik, tuan-tuan boleh ambil pengiktibaran. Yang buruk, aku minta maaf awal-awal atas kelemahan diri.

Di samping itu, aku juga akan berkongsi serba sedikit tentang impian dan matlamat.

Bersama kita doa minta pujuk rayu pada Allah dan usaha menuju impian dan matlamat yang diidam-idamkan.