Senarai yang ke-116 ini merupakan yang kedua tercapai.
Iklan Islamia Youth Forum tersebar di laman Facebook. Tertulis dalam iklan tersebut, tawaran untuk menjadi Fasilitator program di Nadwah Isalamiah MRSM Se-Malaysia. Melihat iklan tersebut, hatiku tergerak untuk menyertainya. Hal ini kerana menjadi fasilitator sebuah program merupakan salah satu Senarai Hidup Ku yang ingin aku capai. Tambahan pula, sudah lama aku tinggalkan IYF.
Borang diisi secara online.
Pada 21 Jun 2013, dari Pontian, aku ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas untuk menghadiri daurah yang diadakan di Masjid Al-Hidayah, Universiti Multimedia Malaysia(MMU), Cyberjaya. Menyedari satu hakikat bahawa, pengangkutan awam menuju ke sana adalah amat sukar untuk didapati. Jika ada pun, tambangnya sangat mahal bagiku. Lebih menggawatkan lagi, masalah jerebu yang tidak selesai-selesai dan boleh menggugat kesihatan tubuh badan. Namun, kerana islah, dakwah dan sumbangan terhadap institusi MRSM, aku bulatkan tekad untuk harungi semua itu.
Aku tidak terus ke MMU sebaliknya ke Shah Alam untuk menikmati Air Batu Campur Fradoo di Seksyen 2 dahulu dan bermalam di UiTM Shah Alam. Sempat juga bertemu dengan salah seorang junior dari MRSM TGB yang juga mengaji jurusan undang-undang pada tahun ini. Ada juga rupanya junior yang berminat dengan kerjaya perundangan.
Dalam perjalanan ke MMU, ada beberapa individu yang terserempak denganku. Itu semua takdir Allah. Antaranya, Abang Abdul Hafiz dan Abang Azrey. Abang Hafiz dalam perjalanan ke KLIA, memulangkan barang yang telah bertukar tangan dengan penumpang lain manakala Abang Azrey juga ke KLIA, namun bertujuan untuk bercuti di Bandung, Indonesia. Sempat juga kami berbual. Bualan ringkas bersama Abang Hafiz mengingatkan aku kepada dakwah dan akhlak. Bualan ringkas bersama Abang Azrey mencerahkan aku kepada kebolehan membuat keputusan hidup dan matlamat kerjaya. Abang Azrey merupakan pelajar cemerlang di MRSM TGB dahulu dengan pencapaian pointer 4.00 pada tiga semester. Tidak dapat tidak, semua pelajar mesti kenal akan beliau.
"Kita sekarang ni dah didoktrinkan, kalau pelajar MRSM saja, mesti jadi doktor atau engineer," satu hakikat yang terpacul dari lisannya. Tak sangka Abang Azrey mempunyai fikrah sama sepertiku.
Dipendekkan cerita, sampai saja di MMU, semua bakal fasilitator mendengar daurah daripada beberapa individu yang hebat seperti saudara Abdul Aziz, Faiz Nor Azman dan Ellyas. Terkejut tatkala Ellyas juga turut bersama pada IYF kali ini. Terimbau kembali semasa aku dan Ellyas menjadi peserta di UKM pada kali pertama IYF dilancarkan. Mereka telah berikan pengisian yang sangat mantap dan menambah pengetahuan di dada. Bakal fasilitator juga sempat berkenalan sesama sendiri. Aku gembira dapat berkenalan dengan pemuda-pemuda berjiwa dakwah.
Genap 2 hari 1 malam di MMU setelah habis daurah, aku ke Kuala Lumpur. Terbungkam di hati, aku ingin pulang ke rumah. Mengenangkan kos untuk pulang ke Pontian memerlukan modal yang banyak, jadi aku membuat keputusan untuk terus berada di Kuala Lumpur sepanjang 5 hari sebelum ke MRSM Kubang Pasu. Lokasi Masjid Seri Petaling menjadi pilihan sebagai tempat kediaman kerana aku menyukai program iman dan amal yang diadakan di sana setiap hari. Lagi pun, pada hematku, suasana agama perlu dicari di mana saja kita berada.
5 hari di Masjid Seri Petaling memberikan aku semangat dakwah yang baharu. Ramai juga individu yang telah aku jumpa di sana seperti Imam Nik(kenalan di PLKN) dan Uncle Tahir(warga Simpang Kerayong, Jasin). Sangat banyak ibrah seperjalanan ini jika mahu diceritakan semuanya sebenarnya.
Pada hari Jumaat, sebahagian bakal fasilitator bergerak dari Pudu Sentral ke Jitra, Kedah manakala sebahagian lagi berkenderaan sendiri. Sampai di MRSM Kubang Pasu, kami disambut baik. Alhamdulillah, perjalanan ke sana sangat lancar. Fasilitator-fasilitator ditugaskan untuk mengendalikan slot percambahan minda dan riadah sahaja kerana sedikit perubahan telah berlaku dalam Nadwah Islamiah MRSM tahun ini.
Setelah dicabut undi, aku ditugaskan untuk mengendalikan pelajar-pelajar dari MRSM PDRM dan MRSM Pontian.
Tugas tersebut cuba kami laksanakan sebaiknya.
Slot Percambahan Minda.
Taaruf diadakan. Kami berkenalan bagi mencapai Tafahum seterusnya Takaful. Pada pandanganku, mereka semua berhati lembut dan suci. Mereka kurang lebih sebaya dengan adik lelakiku, Rhys. Ada yang tingaktan 4 dan ada juga tingakatan 2. Yang aku lihat dalam diri mereka adalah POTENSI.
Modul bagi sesi Percambahan Minda ini mengalami sedikit perubahan. Kelam-kabut dibuatnya aku mahu menyesuaikan diri dengan modul yang sedikit berbeza berbanding daurah. Namun isinya tidak lari. Masih lagi berkaitan tentang kepimpinan. Ralat dalam sesi LDK bukanlah salah peserta, bukan juga salah penganjur, bukan juga salah pengendali. Mungkin terdapat beberapa kesalahan maklumat yang diterima pihak penganjur menyebakan peserta-peserta Nadwah tidak membawa al-Quran terjemahan dan tidak diberikan slide.
Segala masalah ada penyelesaiannya. Hanya kita yang perlu memilih.
Slot Riadah.
Sebagai fasilitator kami dikehendaki untuk mengaitkan hubungan antara slot I dan slot II. Kumpulan yang aku pegang, aku adakan pementasan lakonan pendek.
Kumpulan mereka tadi, aku pecahkan lagi kepada 4 kumpulan kecil di mana ahli-ahlinya terdiri daripada pelajar MRSM yang berbeza. Bagi aku, ini lah masa dan platform untuk mereka membina rangkaian perhubungan bagi memudahkan mereka menjalankan revolusi atau program suatu hari nanti.
Situasi diberikan.
Setiap kumpulan bekerjasama memikirkan drama kepimpinan mereka.
Masa tamat. Tibalah masa pementasan.
Sangat gembira apabila pementasan drama dengan persiapan yang ringkas, mereka dapat menggarap segala pelajaran slot I dan mengaplikasikannya ke dalam Slot II.
MRSM PDRM-Pontian. Aku yakin, mereka bukan sahaja wakil MRSM ke Nadwah ini, malah mereka merupakan DUTA Allah ke muka bumi ini.
Dasar pandang Timur
Mantera MRSM PDRM-Pontian.
Mereka semua baik belaka dan mendengar kata. Terlihat di wajah mereka, sinar nur dan hidayah. Aku senantiasa mendoakan agar mereka dapat menggalas tugasan yang Allah berikan kepada manusia.
Semuanya mengucapkan terima kasih tidak terhingga. Aku amat gembira.
Seorang akhawat atau peserta wanita berkata mereka amat seronok ber'fasilitator'kan aku. Terasa diri semakin dihargai. Terima kasih kepada mereka semua.
"Nadwah Islamiah" kini berorientasi pelaksanaan baharu. Bukan lagi sebuah pertandingan tetapi selaras dengan perkataan nadwah itu sendiri yang membawa makna konvensyen. Tiada apa lagi yang dapat aku sumbangkan buat institusi MRSM. Ini sajalah. Ini sajalah. Ini sajalah.
Benda yang baik bukanlah dibuat kali yang terakhir. Insya-Allah, selepas ini, aku akan terus menjadi fasilitator sekiranya dijemput lagi.
Tercapainya Senarai Hidup Ku adalah kerana perancangan yang Maha Perancang. :)







































No comments:
Post a Comment