Senarai yang ke-119 ini merupakan yang pertama tercapai.
Malam itu, malam Israk dan Mikraj. Aku dan Rhys ke Masjid Kampung Sungai Siput untuk menunaikan solat Maghrib secara berjemaah. Tiba-tiba kami berasa ingin tukar angin pula. Oleh yang demikian, kami meneruskan perjalanan ke surau kampung sebelah, Surau Kampung Kubu Dedap. Alhamdulillah jemaahnya cukup ramai juga. Selepas bacaan surah Yasin, aku mengajak Rhys ke Jementah untuk bersiar-siar.
Kami memberanikan diri dan berharap agar tiada polis yang berkawal kerana aku tidak punyai lesen lagi. Di pekan Jementah, aku tergerak hati untuk ke Masjid Paya Jakas. Aku sengaja ingin imbau kembali memori di PLKN. Masjid ini merupakan masjid yang dikunjungi pelatih Muslim PLKN Kem Sri Ledang untuk bersolat Jumaat setiap minggu.
Sampai sahaja di masjid itu, aku melihat perkarangan masjid telah dipenuhi kereta-kereta besar dan mewah. Mujur sahaja aku bawa motorsikal. Tidaklah susah untuk mencari parkir.
Aku dan Rhys terus ke balai hidangan jamuan makanan untuk menikmati rezeki yang dihidangkan. Kelihatan di situ, wira dan wirawati Muslim kumpulan 2 siri 10 memenuhi program di Masjid tersebut.
Dalam benakku, bolehlah aku berjumpa dengan cikgu-cikgu PLKN.
Aku tercari-cari di manakah Cikgu Zety, Cikgu Abe, Cikgu Mariam, Cikgu Merry, Cikgu Fahmi, Cikgu Azmi dan lain-lain lagi. Namun, tidak kelihatan. Barangkali, penglihatanku telah dicuri tumpuannya kepada seoraang wirawati Charlie >_< . Gurau.
Selepas menjamu selera, aku naik ke tangga masjid. Dari jauh aku ternampak Cikgu Jabar, segak berbaju Melayu berwarna kuning serta bersamping, berdiri di atas saf. Cikgu Jabar menoleh ke pintu masjid dan pandangannya terhenti sebaik melihatku. Beliau memerhatikan aku seakan-akan beliau masih kenal aku.
Iqamat pun berkumandang. Muslimin masing-masing merapatkan saf dan memenuhkan saf barisan hadapan. Aku juga tak terkecuali. Menyelit di tengah keramaian orang untuk sampai di barisan saf Cikgu Jabar.
Kami pun bersalaman. Niat dipasang, takbir diangkat. Solat dimulakan.
Selesai solat fardu Isyak, Cikgu Jabar menyapaku dan kami bertanya khabar. Cikgu Jabar pun keluar dari masjid untuk bertugas mengawal pelatih di sana.
Tak sangka beliau masih ingat pada anak didiknya.
Aku pula duduk dahulu di dalam masjid mengenang kembali kenangan tatkala aku berada di sini dahulu.
Tiba-tiba aku melihat kelibat seorang lelaki yang sepertinya aku kenali. Ya, dialah orangnya. Aku menyapanya dari belakang dan terus bersalaman. Beliau memelukku erat.
" Anak ayah sekarang dekat mana? " dia menghulurkan pertanyaan.
" Baru habis Asasi, lepas ni in shaa Allah sambung degree. " aku pun menjawab.
Alhamdulillah aku dapat berjumpa semula dengan Tuan Timbalan Komandan Latihan, Tuan Haji Mad Yadzir di Masjid Paya Jakas, Jementah.
Beliau sudah lupa namaku, hanya wajah yang diingatinya. Walaubagaimanapun, satu daripada Senarai Hidup Ku telah tercapai dan aku berasa puas.
Kami berbual ringkas di tangga masjid sementara Forum Perdana di Masjid Paya Jakas sedang berlangsung.
Walaupun ringkas, banyak juga yang dapat dibualkan. Banyak juga rahsia yang selama ini tidak aku ketahui. Banyak juga kisah yang diceritakan.
"Belajar rajin-rajin. Jangan berhenti belajar." pesan beliau.
"Kumpulan 1 Siri 9 yang paling saya rindu. Kumpulan 1 Siri 9 lah paling banyak tinggalkan kenangan pada saya." kata-kata beliau yang sangat menyentuh qalbu.
Tercapainya Senarai Hidup Ku adalah kerana perancangan yang Maha Perancang. :)


No comments:
Post a Comment