Antara 121 Senarai Hidup, perkara ke-84 adalah yang keempat tercapai.
Seawal bulan Julai, Papa daftarkan aku di Long Life Driving School. Dengan bayaran RM1,200, namaku dijadualkan untuk menjalani kelas memandu kereta dan motorsikal. Mungkin agak terlewat 1 tahun bagiku untuk mengambil lesen, tetapi seperti kata orang, umur bukan penghalang. Ramai lagi yang lebih tua mahu mengambil lesen, malah ada yang usia sudah melebihi setengah abad.
Rupa-rupanya, Syahriffuddin juga menjalani kelas sama denganku bersama tenaga pengajar yang sama. Aku tidak keseorangan. Ada juga yang aku kenal.
Tenaga pengajarku pada awalnya ialah Encik Yazit bin Abdul Rahman.
Kemudian, atas sebab-sebab tertentu, kami ditukarkan kepada Abang Redzuan iaitu adik kepada Encik Yazit sendiri. Kedua-dua mereka amat baik. Sepanjang proses pengajaran, mereka sering memberikan nasihat yang sungguh berguna buat anak muda Melayu lingkungan umur sepertiku.
Kata mereka kita perlu perjuangkan nasib Melayu. Ekonomi. Politik. Sosial. Pendidikan.
Hatiku sedikit senang apabila Abang Redzuan menyatakan, aku adalah pelajar yang paling cepat belajar pada ketika itu. Alhamdulillah.
Inilah kereta latihan bagi latihan pemanduan sehingga mahir.
Ini pula lapangan buat pelatih untuk mejalani latihan dan ujian memandu Jabatan Pengangkutan Jalanraya.
Segala upaya dan daya aku dan Syahriffuddin kerah untuk menguasai kemahiran memandu kereta dan menunggang motosikal sepanjang tempoh pengajaran. Walaupun kami demam, kami tetap datang belajar.
Pada tarikh 30 Ogos 2013 kami dijadualkan untuk menjalani ujian memandu Jabatan Pengangkutan Jalanraya.
Sebelum diuji, kami menunggu di kantin dan bertemu dengan Encik Yazit.
"Sejuk tak?" soal Encik Yazit dengan selamba.
Kami mengangguk.
"Rasa-rasanya, sejuk atau gementar?" sambung soalnya yang menggerunkan kami.
Pagi itu, sejuk yang kami rasakan sebenarnya merupakan rasa gementar. Tambahan pula, kami dimomokkan bahawa pegawai-pegawai yang menguji adalah sangat garang dan tidak boleh bertoleransi.
Sebagai pelatih yang mengambil double test, giliran kami untuk ujian motosikal diutamakan. Alhamdulillah aku lulus tetapi aku sedikit hampa kerana rakan seperjuanganku, Syahriffuddin, tidak berjaya semasa menjalani ujian motosikal di bahagian meniti titi.
Selepas ujian motosikal, kami menjalani ujian memandu kereta pula. Giliran Syahriffudin adalah awal dariku untuk Bahagian II. Dia gagal di bukit. Aku sedih sekali lagi kerana rakan seperjuanganku tersekat di tengah jalan.
Bahagian III pula, giliranku awal dari Syahriffuddin. Memang benar pegawai JPJ itu kelihatan garang. Aku tidak memandu ke jalan raya pun ketika ujian ini kerana pemanduanku sudah baik ketika berada dalam litar sekolah memandu lagi.
Aku lulus. Alhamdulillah.
Aku menunggu Syahriffuddin untuk habiskan ujian Bahagian III. Ada seorang pemuda berbangsa Cina menyapaku. Sebelum ini, dia pernah menyapaku ketika kami sama-sama mengambil ujian memandu komputer.
"You pass aaa?" tanyanya sama ada lulus atau gagal.
"Tak," jawabku ringkas.
"Habis? You macam mana?" soalnya bagi mendapat penjelasan seterusnya.
"I bukan Pas, I UMNO,.." aku menjawab dan terus pergi meninggalkannya dalam kebinggungan.
Hatiku ketawa sendirian. Mungkin dia fikir aku rasis atau apa sahaja.
Tidak lama kemudian, Syahriffudin berjaya habiskan ujian memandu Bahagian III dan kami pun ke kantin untuk menunggu Abang Redzuan menjemput kami ke rumah.
Walaupun aku lulus pada hari ini zahirnya, pada hakikatnya aku gagal kerana Syahriffuddin tidak berjaya dalam kedua-dua ujian. Aku harap Syahriffuddin akan berjaya pada ujian memandu yang akan datang.
Seperti yang pernah dipesan oleh Wan Asyraf,
"Kau belajar memandu ni biarlah diniatkan untuk dakwah, niat nak bawa orang ke masjid, niat nak pergi daurah, niat bawa jemaah, niat nak sebarkan kalimah...".
Insya-Allah inilah niat terbesarku mempelajari kemahiran ini. Aku berazam akan gunakannya sebaik-baiknya.
Tercapainya Senarai Hidup Ku adalah kerana perancangan yang Maha Perancang. :)
Selamat Merdeka!











































